PAS dan Bersih 5

Wednesday, November 23, 2016

Perhimpunan BERSIH buat pertama kalinya diadakan pada tanggal 10 November 2007 iaitu kira-kira 9 tahun lalu. Ketika itu kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang hanyalah di Kelantan yang dipertahakan oleh PAS dengan majoriti tipis pada PRU 2004.

Tuntutan BERSIH ketika itu adalah empat perkara yang jelas iaitu pertama membersihkan daftar pemilih dari sebarang ketempangan dan kepincangan, kedua penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda, ketiga pemansuhan undi pos bagi anggota tentera dan polis dan keempat akses media yang adil kepada semua parti politik semasa pilihanraya.

Tiada tuntutan untuk menggulingkan kerajaan atau menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, kerana pada dasarnya sistem berpilihanraya masih diiktiraf dan dianggap sebagai sistem yang paling sesuai yang walaubagaimanapun perlu kepada beberapa penambahbaikan dan perubahan drastik.

Oleh kerana tuntutan ini sangat relevan buat sistem berdemokrasi di Malaysia, maka PAS sebagaimana parti-parti pembangkang lain ketika itu telah bersetuju melibatkan diri, lebih penting lagi buat PAS kerana bimbang sistem yang kotor boleh menggugat kedudukannya khasnya di negeri Kelantan.

PAS telah mengambil bahagian paling aktif dalam perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu, malah sejarah membuktikan bahawa penggembelingan tenaga dan kekuatan yang paling besar dalam perhimpunan itu datangnya dari PAS. Presiden dan seluruh kepimpinan PAS terlibat sehinggakan kekuatan akar umbi PAS dikerahkan dan telah turun membanjiri Kuala Lumpur berbodong-bondong menaiki bas, keretapi dan kenderaan persendirian dari segenap penjuru dan ceruk tanahair.

Saya ketika itu merupakan Setiausaha Akhbar Presiden dan masih tajam diingatan betapa keberanian dan kesungguhan ahli-ahli PAS lah yang telah mendorong dan memberi kekuatan kepada rakyat yang lain untuk bergerak menuju Istana Negara.  Sukarelawan Unit Amal PAS ternyata menyerlah mewarnai himpunan raksaksa itu. 

Saya bersama pimpinan lain diketuai Presiden PAS sendiri berjalan kaki dalam cuaca yang renyai-renyai, dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara.

Penyokong yang lain yang datang dari pelbagai penjuru di Bandaraya, ada yang tersekat lalu ditembak gas pemedih mata dan “water canon” manakala rombongan Presiden PAS dari Masjid Negara selamat tiba di luar Istana tanpa gangguan.

Matlamat menyerahkan memorandum ke Yang Dipertuan Agong berjaya dan yang lebih penting tuntutan BERSIH ada yang telah diterima dan dilaksanakan manakala yang selebihnya telah menyaksikan beberapa penambahbaikan walaupun tidaklah sempurna sepenuhnya.

Saya mengimbau kembali perisitiwa ini agar rakyat Malaysia dapat melihat dan menyedari penglibatan PAS sejak awal-awal lagi. PAS terus menyertai perhimpunan BERSIH berikutnya, cuma pada BERSIH 4 ia sekadar menghantar dua wakil dan BERSIH 5 baru-baru ini PAS tidak mengambil bahagian.


Keputusan tidak mengambil bahagian dalam BERSIH 5 baru-baru ini bukanlah bermakna PAS tiada lagi berminat menuntut pilihanraya yang bersih dan adil, akan tetapi ianya diambil oleh kerana PAS mempunyai pendekatannya yang sendiri.

Tidak dinafikan pilihanraya yang bersih dan adil merupakan asas paling penting dalam sistem berpilihanraya dan demokrasi berparlimen. Itulah tuntutan PAS sepanjang usianya dan terbaru melalui BERSIH sejak 2007 lalu, tetapi kali ini kaedah tuntutannya bagi PAS perlukan pendekatan yang berbeza.

PAS hari ini lebih menekankan budaya politik matang dan sejahtera. Melalui kaedah ini PAS lebih minat melakukan “engagement” dengan pihak-pihak berkepentingan selain memberikan teguran yang konstruktif dan nasihat secara langsung kepada pihak kerajaan dan badan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pilihanraya.

Pendekatan baru ini PAS yakin lebih bermakna dan kini lebih disenangi rakyat kerana ianya tidak mencetuskan ketegangan dan huru-hara yang hanya akan mengancam kestabilan negara. Pada pandangan PAS politik konfrantasi sudah basi dan mula ditinggalkan, memang rakyat menuntut reformasi pilihanraya tetapi rakyat juga mahukan keamanan yang ada dipertahan dan dikekalkan.

Inilah cabaran besar bagi semua pihak, dan PAS menganggap cabaran ini sesuatu yang serius dan mahu membuktikan bahawa ia mampu membawa perubahan itu tanpa memperjudikan nasib dan masa depan negara dan rakyat.

Kongres Rakyat umpamanya yang menghimpunkan suara rakyat melalui pelbagai NGO dan badan, PAS percaya adalah forum yang lebih sesuai dan lebih dialu-alukan masyarakat sivil berbanding protes jalanan.

PAS sedar bahawa mereka yang mengambil bahagian dalam BERSIH 5 masing-masing mempunyai hak untuk berbuat demikian. PAS tidak pernah mencabar hak mereka itu.

Cumanya dari pengalaman BERSIH 4 yang lalu ternyata semangat BERSIH 2007 yang asal sudah semakin luntur serta dikesampingkan dan malah sudah ada pihak-pihak tertentu yang cuba “hijack” perhimpunan BERSIH dengan membawa tuntutan dan agenda peribadi yang tidak menepati dasar dan prinsip perjuangan PAS.

Ramai mengetahui pihak liberal termasuklah kumpulan haram “LGBT” yang memperjuangkan hak golongan lesbian dan homoseksual yang bertentangan dengan Islam dan budaya kita turut mengambil kesempatan melalui BERSIH. PAS tidak akan membenarkan dirinya terlibat dengan puak mungkar ini.

Dan tidak sebagaimana BERSIH yang sebelumnya, hari ini PAS tiada lagi hubungan politik dengan DAP, malah DAP hari ini memilih PAS sebagai musuh utamanya. Bagaimana mungkin PAS mahu bersekongkol dengan mereka yang menganggap PAS sebagai musuh? Demikian juga kehadiran parti PAN yang kononnya diasaskan untuk menggantikan PAS, masuk akalkah PAS berhimpun  bersama golongan pengkhaianat seumpama ini?

Selain itu kehadiran golongan radikal “baju merah” menyumbang ke arah hilang fokusnya himpunan ini.

Apa pun ternyata ketiadaan PAS sangat dirasai dalam BERSIH 4 dan 5 yang terbaru. Sejak BERSIH 4 lagi ramai yang menyatakan bahawa perwakilan Melayu dalam himpunan BERSIH telah susut kerana ternyata PAS lah yang selama ini berjaya menggembeling golongan majoriti ini.

Dan ini juga membuktikan anasir yang kononnya dilahirkan untuk menggantikan PAS telah sekali gagal, rugi besarlah penajanya.


Surat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia (termasuklah YB Ahli-ahli Parlimen)

Tuesday, November 22, 2016



(Menjawab tuduhan liar Zaid Ibrahim)

Rang Undang-undang Persendirian dari Ahli Parlimen Marang, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang memohon untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dijangka dibentangkan sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir pada 24 November ini sekiranya diberi kesempatan.

Adapun Rang Undang-undang itu bermaksud meminda Akta 355 dengan:-

i. menggantikan seksyen 2 di dalam akta berkenaan dengan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan” dan

ii. memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”

Sesungguhnya Akta 355 ini adalah berkenaan urusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Undang-undang Syariah yang telah wujud sekian lama dalam negara kita hanya terpakai dan berkenaan dengan orang Islam sahaja. Lantas sebarang pindaan ke atasnya termasuklah apa yang sedang diusahakan oleh Ahli Parlimen Marang ini hanyalah terkena atas rakyat Malaysia yang beragama Islam sahaja.

Rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak akan terlibat sama-sekali.

Janganlah kita mudah terpedaya, terpesong atau terpengaruh dengan mana-mana individua atau kumpulan yang memandang serong dan menentang usaha ini atas pelbagai alasan fitnah dan kepalsuan.

Pertimbangkanlah:

1. Skop pindaan ini adalah untuk memberi kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman setimpal dengan undang-undang syariah iaitu sebagaimana yang terkandung dalam hukum Islam yang sebenar. Namun ianya tertumpu kepada hukuman penjara, denda dan sebatan. Hari ini hadnya adalah  terbatas kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Melalui pindaan ini had hukuman di atas boleh dipertingkatkan selaras dengan hukum syariah sebenar sebagaimana yang terkandung dalam enakmen negeri-negeri yang berkaitan.

Pindaan ini tidak melibatkan hukuman potong tangan (sebagaimana dituduh oleh seorang bekas Menteri dalam surat terbukanya – “The amendment could mean the amputation of limbs … “) dan sebarang tuduhan sedemikian ternyata punya maksud jahat untuk mengagalkan usaha awal umat Islam rakyat majoriti di negara ini untuk mengamalkan ajaran agama mereka sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

2. Pindaan ini jelas menyebut bahawa had hukuman di Mahkamah Syariah nanti adalah sebagaimana yang dibenarkan undang-undang syariah. Mahkamah Syariah Negeri-negeri menjalankan tugasnya berlandaskan Enakmen Negeri-negeri yang diluluskan oleh Dewan-dewan Negeri. Tidak benar menuduh bahawa mahkamah nanti berhak menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya (kononnya dituduh – “ …with the bill, jail sentence can be imposed without any limitations.”) tanpa had.

Undang-undang syariah telah jelas menghadkan hukuman bagi satu-satu kesalahan, dan jika Enakmen Negeri-negeri ada yang mengambil semangat dari undang-undang syariah, ianya memang diketahui punya had, mengatakan sebaliknya seolah menghina hukum Allah swt.

Di Kelantan umpamanya kesalahan meminum arak disebut dengan terang di bawah Kanun Jenayah Syariah Kelantan, fasal 22:

Sesiapa yang meminum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya, adalah melakukan suatu kesalahan syurb dan apabila disabitkan hendaklah disebat tidak melebihi lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat puluh kali sebatan

Di Terengganu seksyen 5, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (2002) menyebut:

2) Sesiapa yang melakukan kesalahan syurb hendaklah dihukum dengan hukuman seperti berikut:

(a) bagi kesalahan pertama atau kedua dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan;

(b) bagi kesalahan ketiga dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan; dan

(c) bagi kesalahan keempat dan seterusnya dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan, dan boleh juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

3. Usaha ini bukannya memperkenalkan hukum Hudud, kerana hukum berkenaan sebenarnya komprehensif melibatkan kesemua kesalahan jenayah dalam Islam termasuklah merompak, membunuh, mencuri dan sebagainya. Walaubagaimanapun pindaan ini jelas menyebut “…selain dari hukuman mati  bermakna hukuman mati yang ada dikenakan atas kesalahan Hudud tidak boleh dikuatkuasakan sekaligus membuktikan pindaan ini bukanlah Hukum Hudud sebagaimana didakwa.

4. Usaha ini adalah usaha untuk membawa umat Islam lebih dekat kepada amalan agamanya yang sebenar walaupun tidak keseluruhannya. Sebagai seorang Muslim apa sahaja usaha untuk dekat kepada agama mereka sudah pasti adalah usaha yang baik dan menentangnya sudah pasti bermakna menetang usaha memperkasakan agama sendiri, menentang hak yang diberikan kepada umat Islam Malaysia.

Umat Islam di Malaysia akan menjadi rakyat yang baik apabila mereka lebih dekat pada agama mereka, dan ini sudah pasti turut memberi jaminan keamanan kepada warga Malaysia yang lain khasnya yang bukan Islam.

Kerana itu sebarang usaha seperti ini wajar dialu-alukan.

5. Sesungguhnya Akta 355 ini telah menjadi undang-undang sejak tahun 1965. Semasa perbahasan Bajet 2017 baru-baru ini Ahli Parlimen Kota Bharu menyebut bahawa ketika Akta 355 ini di bawa ke Parlimen dahulu, mendiang PM Singapura Lee Kuan Yew adalah ahli Dewan, dan tiada ahli yang bukan Islam pun bangkit membahaskannya kerana ianya berkenaan hal ehwal orang Islam. Begitu juga semasa Akta ini melalui pindaan pada tahun 1984, beberapa ahli Parlimen DAP yang ada dalam Parlimen hari ini juga merupakan ahli, mereka pun ketika itu tidak bangkit termasuklah Lim Kit Siang dan Dr Tan Seng Giaw.

Demi perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. 

Hormatilah hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana selama ini umat Islam yang majoriti menghormati amalan dan kepercayaan penganut agama lain yang merupakan minoriti dalam negara kita. Semoga suasana harmoni di Malaysia dapat terus kekal tanpa ada syak wasangka.

Surat terbuka ini mohon merayu dan memberi kesadaran kepada semua bahawa Rang Undang-undang ini berniat baik iaitu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tanpa punya niat jahat atau mahu mencederakan hak dan kepercayaan mana-mana pihak lain.
Rang Undang-undang ini melalui proses demokrasi berparlimen, dibawa secara tertib dan menurut peraturan. Islam mahu diperkasakan melalui RUU ini dan ianya dibawa secara terhormat dan terbuka bukannya melalui pintu belakang atau seumpamanya.

Siapa sahaja termasuk ahli-ahli parlimen berhak membahas, memberi teguran dan mencadang penambah-baikan terhadapnya tetapi mohonlah agar ia dapat diluluskan kerana umat Islam, rakyat Malaysia yang majoriti yang dekat dan sayang pada agama mereka sangat mengharapkan dan mahu melihat amalan agama mereka selari dengan ajaran sebenarnya.

LASAK 1311 titik mula kebangkitan PAS Selangor

Wednesday, November 16, 2016

Disaat parti-parti lain tertumpu untuk turun ke jalanraya, berdemonstrasi dan menjayakan Bersih 5 pada 19 November nanti, PAS di Selangor mengerahkan tenaga menganjurkan majlis yang berbeza.

Menggembeling rakyat turun ke jalanraya berdemonstrasi sebagaimana agenda Bersih 5, atas alasan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil berbeza dengan LASAK 1311 yang dianjurkan oleh PAS Selangor baru-baru ini.

Politik yang bertenaga adalah politik yang berani meneroka lapangan baru. Politik yang berani menyentap perhatian rakyat sehingga menggegarkan minat dan tumpuan mereka. Mengulang-ulang pendekatan politik yang sama boleh dianggap politik yang ketandusan idea, basi malah berkemungkian mencetuskan kebosanan dikalangan ahli dan penyokong.
Lebih parah lagi apabila pemerhati yang tidak memihak kemana-mana mula muak dan benci.

LASAK 1311 diectuskan untuk membawa kelainan dan ternyata ia telah berjaya menciptanya.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hj Hashim Jasin yang hadir untuk menutup majlis berkenaan mengakui bahawa inisiatif PAS Selangor itu sesuatu yang unik dan positif malah perlu dicontohi dan diikuti oleh pihak lain.

LASAK 1311 atau “Ledakkan suara rakyat” anjuran PAS Selangor bermaksud menghimpun rakyat dan pemimpin dalam satu himpunan dimana suara rakyat diperdengarkan untuk perhatian pemimpin. LASAK menyediakan gelanggang bagi rakyat jelata menyuarakan pandangan, krtikkan, teguran dan cadangan mereka.

PAS Selangor menyertai kerajaan campuran Selangor apabila menang dalam Pilihanraya Umum 2008, dan ianya diteruskan dengan mandat yang lebih bear dalam Pilihanraya Umum 2013.

Duduk memegang kerajaan adalah merupakan amanah yang besar, yang perlukan perhatian serius dan komitmen maksima kerana bagi PAS sebagai sebuah gerakan Islam amanah ini bukan hanya bermakna ia bertanggungjawab pada rakyat yang dipimpinnya tetapi lebih besar lagi amanah tadi akan dipertanggungjawabkan ke atasnya di hadapan Allah swt nanti.

PAS insaf dan sedar bahawa amanah kepimpinan seumpama ini bukannya peluang untuk mengayakan diri atau keluarga, bukan juga peluang untuk menyalahguna-kuasa dan menzalimi rakyat, tetapi ia sebagai peluang yang diberikan oleh Allah swt untuk melaksanakan kepimpinan bersandarkan ajaran dan ketentuan Nya.

Keadilan dan kesaksamaan Islam wajib ditonjolkan dalam pemerintahan.

Rakyat yang dipimpin perlu dibela dan dijaga kebajikan mereka. Kekayan dan hasil mahsul negeri perlu diurus dengan penuh telus dengan membawa pembangunan dan kemajuan yang tidak membelakangkan kepentingan rakyat sebaliknya kesejahteraan disusun untuk manfaat rakyat dan negeri seluruhnya.

Atas dasar itu isi hati rakyat perlu difahami dan diketahui agar perancangan dan penambahbaikan boleh dilaksanakan dengan bijak dan teratur.

LASAK bermatlamat membuka gelanggang bagi PAS Selangor untuk mendengar secara langsung keluhan dan tuntutan rakyat. Ia menyediakan saluran buat rakyat menyuarakan nasib dan pengharapan mereka, agar wakil PAS dalam kerajaan dapat mengambil maklum dan segera merancang dan melaksanakan sesuatu bagi memenuhi hasrat rakyat itu.

Dalam majlis ini rakyat bebas memberikan teguran, mengkritik dan mengemukakan cadangan untuk diangkat oleh para pemimpin yang hadir.

Sesungguhnya peluang seperti ini tidak pernah diusahakan dan LASAK merupakan permulaan yang berani yang diambil PAS Selangor bagi membuktikan komitmen mereka dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah yang baik dan adil.

Dalam LASAK 1311 baru-baru ini wakil-wakil pelbagai sektor dalam masyarakat telah bangkit menyata dan meluahkan tuntutan dan pandangan masing-masing tanpa sebarang sekatan atau larangan.

Wakil-wakil anak muda, mahasiswa, wakil penduduk, pendidik, petani, peniaga kecil, wanita, bekas anggota keselamatan, pemandu teksi dan wakil penggiat seni telah masing-masing naik ke pentas dalam LASAK 1311 mengambil kesempatan menyuarakan isi hati masing-masing. Ada yang beremosi, ada yang lantang, ada yang bersahaja dan berjenaka malah ada juga yang sebak dan mengalirkan air mata, begitulah cerminan penghidupan rakyat yang sebenarnya.

Pengalaman hidup mereka khasnya dalam suasana ekonomi negara yang tidak menentu, dengan kenaikkan kos hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang mencacak naik, telah berjaya diluahkan kepada pimpinan yang hadir.

Demokrasi dan pilihanraya satu hal, tetapi pembelaan kehidupan dan nasib rakyat lebih utama khasnya dikalangan mereka yang punya kuasa.

Rakyat sudah penat dan bosan berdemonstrasi di jalanan, hari ini mereka mahu pembelaan dari kalangan pemimpin yang jujur dan ikhlas,

LASAK 1311 mendedahkan betapa rakyat bukan hanya di Selangor tetapi saya percaya di seluruh negara, menanti-nantikan pembelaan yang lebih bermakna khasnya buat nasib dan masa depan mereka.

Disinilah PAS berperanan, sebagai sebuah gerakan Islam, ahli dan pimpinannya dilatih dan ditarbiyah sepanjang masa untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar terutama apabila memikul amanah kepimpinan dan pemerintahan. Pemimpin Islam tidak korap, memelihara akhlak dan sentiasa bertaqwa.

PAS perlu membuktikan keberkesanan kepimpinan dan kerajaan Islam, lantas LASAK 1311 adalah platform yang paling sesuai bagi memandu mereka untuk menyelami isi hati rakyat untuk dijadikan agenda perjuangan.

Adalah diyakini apabila rakyat nanti dipanggil untuk menilai kepimpinan PAS tidak mustahil dimasa depan, rakyat tidak akan teragak-agak memberikan mandat yang lebih besar kepada Parti Islam ini, satu-satunya parti yang bersungguh isitqamah dengan prinsip dan tututan perjuangannya.

Syabas PAS Selangor.