Wednesday, February 07, 2007

Apa pandangan saya terhadap Tun Dr M?

Saya terpanggil untuk menjawab soalan ini kerana menerima terlalu banyak pertanyaan yang serupa dari kawan-kawan termasuklah pembaca BLOG ini.

Mungkin pandangan dan pendirian saya tidak penting kerana saya sekadar seorang yang terlalu kecil kedudukannya dalam masyarakat Malaysia yang besar ini, namun demi meraikan kawan-kawan yang bertanya maka layaklah saya memberi respon peribadi walaupun saya merasakan sebelum ini saya telah pun melakukan perkara yang serupa.

Tun bukan lagi PM, bukan juga lagi Presiden Umno, ringkasnya meminjam kata-kata Augustine Paul sudah TIDAK RELEVAN lagi. Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna apa sahaja kesalahan beliau yang lampau-lampau terpadam lantaran hakikat itu.

Bagi saya sekiranya kita terus menjuruskan serangan terhadap Tun, kita sebenarnya membazirkan tenaga kerana tenaga itu sepatutnya digembeling dan dipusatkan k earah orang yang kini berkuasa dan telah pun hampir 3 tahun mengambil-alih tampuk kekuasaan dari Tun. (Orang ini kini berterusan menjalankan kemungkaran politik dalam ketika kita sibuk membahaskan isu ini)

Tambahan pada hari ini Tun pun turut menyumbang peluru ke arah menyerang sasaran yang sama, malah kadangkala peluru beliau lebih menyengat dan bermakna dari kita.

Saya melihat Dato Seri Anwar dan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz lebih berjiwa besar dalam hal ini sedangkan luka yang mereka pikul lebih parah dari siapa pun diantara kita. Sahabat-sahabat yang pernah ditahan di bawah ISA sanggup berjiwa besar dan meraikan bekas PM ini, khasnya dalam keadaan beliau turut mahu menyumbang menurut cara dan kemampuannya.

Kita mungkin bukan Rasulullah dan Tun pun bukan Abu Jahal, tetapi kita dididik bahawa Rasulullah tidak pernah SHUT OUT sesiapa sahaja yang ingin memberi pandangan dan mohon didengar.

Saya ingin mendengar dan saya ingin melihat dan kerana itu jika Tun bersedia berkongsi atau menyumbang apa sahaja ke arah meruntuhkan kemungkaran politik yang ada (walaupun beliau sendiri pernah memimpinnya), saya akan meraikan beliau apabila perlu termasuklah dalam BLOG ini. Siapa sahaja berhak untuk tidak bersetuju, kerana itu pandangan masing-masing, dan saya tidak berhasrat memaksa sesiapa sebagaimana sesiapa jua tidak berhak memaksa yang lain termasuklah diri saya.

DAP cotnohnya tidak pernah bersetuju secara terbuka dengan PAS. DAP akan menyerang apa sahaja berkenaan PAS kerana PAS didakwa memperjuangkans sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan negara. DAP menyerang konsep negara Islam, DAP bersetuju dengan IFC, DAP menentang peraturan berhubung murtad, namun PAS berterusan membuka dirinya buat DAP.

Dan secara tidak rasmi pimpinan DAP yang berjiwa besar ada diantaranya begitu intim dengan pimpinan PAS yang rata-rata semuanya berjiwa besar belaka.

Kesimpulannya selaraskanlah keutamaan kita. Hanya pemimpin yang terbuka dan berjiwa besar (tanpa sedikitpun menggadaikan prinsip) sahaja akan berjaya dalam kancah politik Malaysia yang serba bergelora dan berkecamuk ini. Wallahualam.

No comments: