Thursday, February 08, 2007

Haramkan sahajalah Khir

Semalam dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO kerajaan Selangor, Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo dilaporkan oleh UTUSAN sebagai berkata:

Operasi (Ops Urut) yang diadakan minggu lalu juga mendapati ada sesetengah pusat hiburan dan urut tradisional turut menawarkan perkhidmatan seks kepada para pelanggan mereka.



Sesungguhnya kehadiran rumah-rumah urut ini sememangnya satu faktor yang menyumbang ke arah masalah sosial yang sangat membimbangkan. Hakikat ini perlu diinsafi oleh semua pihak termasuklah sepatutnya MB dan anggota EXCOnya.

Pertama rata-rata rumah-rumah urut ini menawarkan perkhidmatan urut dimana lazimnya si perempuan digajikan mengurut tubuh lelaki (yang tidak syak lagi HARAM di sisi Islam, itu pun kalau kita berminat mengambil Islam sebagai panduan), keduanya si perempuan ini biasanya samada terdiri dari warga asing yang susah dan sanggup melakukan apa sahaja demi upah dan ada juga yang terdiri dari anak-anak kita yang dipengaruhi untuk bekerja di sini kononnya dengan upah yang lumayan sedangkan tubuh badan mereka terpaksa direlakan digomol demi memuaskan para pelanggan dan ketiga sudah pastilah perkhidmatan seumpama ini akan menjadi gelanggang untuk golongan lelaki termasuklah yang telah beristeri untuk memuaskan nafsu masing-masing lantas menyumbang kepada masalah keruntuhan keluarga dan rumah tangga.

Saya kira kita tidak perlu menyerbu dan melihat sendiri untuk tahu bahawa unsur-unsur maksiat pasti akan bersarang dalam tempat seumpama ini. Mustahil MB yang ada asas agama tidak mengetahui bahawa apabila dihimpunkan lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam tempat seumpama ini kecenderungan untuk berlaku perlakuan sumbang sangat besar.

Kesimpulannya tidak perlulah lagi kita berpura-pura, dalam hal ini. Kalau benar kehadiran rumah-rumah urut ini lebih mendatangkan mudarat dari kebaikan maka langkah sebaik-baiknya adalah mansuhkan sahaja permitnya. Jangan lagi berikan keizinan kepada rumah urut seumpama ini bertapak di Selangor. Kemudian jika ada juga yang beroperasi secara haram maka bolehlah tindakan tegas diambil, kerana masalahnya sekarang mereka yang dilesenkan sewenang-wenang menyalahgunakan lesennya untuk kegiatan pelacuran..

Sekurang-kurangnya MB dan anggota EXCO boleh beri tumpuan kepada kerja-kerja lain yang lebih penting dari menyelongkar dan menyerbu rumah-rumah maksiat ini!

No comments: