Tuesday, February 20, 2007

Kaya harta miskin semangat

Saya terbaca dalam akhbar THE STAR baru-baru ini betapa seorang CEO sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, Tony Pua, 34 tahun telah membuat keputusan menyertai DAP.

Tony kini dilantik sebagai Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP Sdr Lim Guan Eng dan Pengarang Eksekutif akhbar DAP The Rocket.

Kata Tony beliau mengambil keputusan menyertai DAP setelah melihat PM Dollah Badawi gagal menunaikan janji-janji reformnya lalu untuk memperjuangkan nasib dan masadepan negara dan rakyat Malaysia beliau merasakan terpanggil untuk menyumbang dan wadah pilihannya adalah DAP.


Bayangkan betapa besarnya pengorbanan seorang anak muda yang telah mencapai tingkatan tertinggi dalam kejayaan hidup namun sanggup turun ke bawah kembali demi memperjuangkan nasib rakyat. Tony adalah lulusan Universiti Oxford dan saya yakin jika tidak melepaskan kepentingannya dalam syarikat IT itu, pasti beliau akan semakin berjaya dalam hidupnya.

Lalu terfikir juga saya tidak adakah lagi anak-anak muda Melayu atau tokoh-tokoh Melayu yang berjaya yang sanggup membuat keputusan berani sebagaimana yang dilakukan oleh Tony ini?

Saya kira tokoh Melayu yang terakhir yang membuat langkah seberani Tony ini adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas CEO Guthrie dan PNB yang telah membuat keputusan menyertai PKR dan kini dilantik sebagai Bendahari parti tersebut.

Perjuangan memerlukan pengorbanan, dan perjuangan yang benar perlu dipimpin oleh pemimpin yang ikhlas dan berkaliber. Ramai profesional dan tokoh-tokoh Melayu begitu lantang dan berani menegur dan mengkritik apabila melihatkan kecurangan dan kemungkaran politik, ekonomi dan sosial yang berkecemuk dipentas negara. Namun tidak ramai yang berani memilih platform politik, lebih-lebih lagi politik pembangkang kerana merasakan rezeki dan kedudukan mereka akan tergugat jika berbuat demikian.

Tunggulah apabila pencen, tunggulah apabila telah keluar kerajaan atau tidak lagi aktif disektor korporat, sedangkan mereka lupa ketika itu mereka telah mencecah usia yang maghrib dan darah muda satu ketika dahulu sudah sejuk diganti dengan sengal-sengal tulang dan otot, serta raut wajah yang semakin labuh.

Malulah kita kepada wira umapma Tony ini.

Dan kemudian kita bercakap berkenaan membela agama dan bangsa. Agama diperlakukan, diletakkan di kerusi belakang. Tidak diberi keutamaan malah kadangkala dikesampingkan. Panas meluap darah kita melihatkan agama diperkosa sedemikian rupa, namun kita lantaran hambatan dunia, masih belum bersedia untuk berpencak di gelanggang yang sepatutnya.

Sampai masanya untuk kita berfikir panjang dan melakukan sesuatu demi agama, bangsa dan negara.

Memang duduk di sebelah sini penuh dugaan dan kesusahan. Segala peluang dan lorong kekayaan dikatup dan dikunci rapat. Lihatlah Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato Dr Hassan Ali, Dr Hatta Ramli, Datuk Ismail Kamus, Dr Syed Azman, Ustaz Taib Azamuddin, Datuk Ishak Baharom, Ustaz Mujahid Yusoff Rawa, Ustaz Idris Ahmad, betapa berbezanya hidup mereka sekarang berbanding dengan ketika mereka berada di arus perdana dahulu.

Tetapi tidakkah kita yakin bahawa rezeki itu datangnya dari Allah swt? Atau kita sekadar angguk tetapi belum cukup yakin? Mereka yang saya sebutkan tadi itu mungkin serba-serbi susah dan kekurangan kini tetapi sumbangan mereka insyallah akan dikenang dan dikurnia setimpal-timpal pembalasan di hari kemudian kelak.

Fikir-fikirlah bersama, jika lantaran hambatan yang terlalu besar sehingga kita tidak berdaya juga untuk melangkah keluar, sekurang-kurangnya kita menyumbang dengan berbagai cara lain, paling tidak infaqkan harta kita untuk perjuangan. Paling tidak kita menymbang idea dibalik tabir, paling tidak kita buka laluan buat anak-isteri kita untuk melangkah ke hadapan.

Jangan sekadar kaya duit, kaya idea, kaya kritikkan, tetapi miskin semangat, miskin keperkasaan, miskin keberanian, sedangkan nasib agama dan bangsa entah bagaimana.

Tanhiah Tony atas keberanian anda dan tahniah juga kepada mereka yang bakal melangkah keluar umpama Tony nanti.

No comments: